Monday, August 13, 2007

MAHASISWA DAN BUDAYA KEILMUAN

Oleh: Editor Ar-Rusydan

Menara gading adalah institusi tertinggi dalam pendidikan dan wadah untuk mendapatkan ilmu. Di dalam Al Quran, Allah berjanji akan meningkatkan darjat orang-orang yang berilmu pengetahuan sebagaimana Allah berfirman :

Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat. (Al Mujadalah : 11).

Dalam konteks ini warga mahasiswa seharusnya berharap tergolong dalam kategori ini. Namun begitu, generasi muda kini masih terbelenggu dengan krisis kurangnya budaya keilmuwan dan keintelektualan yang mana merupakan asas kepada kemajuan dan pembangunan suatu tamadun. Kejayaan tamadun-tamadun silam yang berjaya mempengaruhi dunia hingga hari ini ialah tamadun yang mampu menghasilkan idea, tulisan, ciptaan dan laporan sesuatu perkara baru hasil tercetusnya perkembangan iludan keintelektualan. Fenomena kegersangan asas keilmuwan, kreativiti dan keintelektualan ini khususnya kepada mahasiswa akan menyebabkan kelesuan daya fikir yang akhirnya menyebabkan kegagalan untuk memahami realiti semasa dalam masyarakat kini.
Penyebaran ilmu di setiap universiti seharusnya berorientasikan keilmuwan (knowedge oriented). Dalam sistem ini, mahasiswa sebagai pemangkin budaya keilmuwan akan melangkah setapak ke hadapan dari orang kebanyakan di dalam mencari ilmu. Mereka akan membaca buku-buku ilmiah selain daripada bidang pengkhususan, berbicara tentang ilmu dan mempunyai sifat yang haus kepada ilmu. Budaya ilmu sebeginilah sepatutnya menjadi resam bagi setiap yang bergelar mahasiswa universiti. Mereka tidak akan digelar sebagai golongan yang bijak pandai atau intelektual jika tidak memartabatkan budaya keilmuwan.


Justeru, langkah-langkah proaktif perlu digerakkan bagi memperkasakan budaya keilmuwan dan tradisi keintelektualan. Ilmu merupakan perkara asas yang perlu diberi perhatian oleh setiap individu muslim kerana ia adalah perkara pokok pembinaan umat dan ketemadunan. Islam mengasaskan kepada kekuatan dan pembudayaan ilmu dalam kehidupan muslim.


Ilmu bukan sekadar mendapat maklumat tetapi kemampuan kita untuk membudayakan dan memanfaatkannya. Natijah daripada dimensi keilmuwan ini akan membawa kepada peningkatan intelektualisme, pembangunan akhlak, dan budaya hidup yang akan menjadi cerminan untuk melahirkan graduan yang mampu membina ‘khayra ummah’.


Pencarian ilmu tidak terbatas kepada membaca dalam skop kursus tertentu, bidang akademik tertentu atau di atas faktor orientasi peperiksaan. Ia perlu diperluaskan kepada pelbagai displin keilmuwan. Tidak semestinya seorang jurutera atau akauntan tidak boleh menjadi pendakwah dan mendalami ilmu-ilmu agama. Kita wajar menjadikan ulama dan tokoh-tokoh Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan ramai lagi yang mempunyai asas-asas ilmu agama yang kukuh di samping menjadi tokoh perubatan, sains dan ilmuwan ulung yang diiktiraf seantero dunia.


Oleh itu, aktiviti pemugaran budaya ilmu seperti membaca dan memahami buku, makalah, jurnal dan majalah yang bercorak ilmiah dan pelbagai lagi perlulah diperluaskan. Golongan mahasiswa tidak harus membataskan pembacaan kepada aspek akademik atau bidangnya semata-mata, tetapi meluaskan pembacaan dalam bidang lain di samping dalam masa yang sama menghadiri majlis-majlis ilmu dengan berguru, menghadiri seminar, wacana ilmu, kuliyah dan kumpulan perbincangan.


Selain daripada membaca, proses percambahan minda boleh diperluaskan kepada diskusi buku dan melibatkan diri dalam bidang penulisan dalam bentuk rencana, makalah, artikel, cerpen, novel dan dan pelbagai genre penulisan yang lain. Penggunaan teknologi elektronik terkini seperti melayari internet, diskusi maya dan emel perlulah dimanfaatkan secara proaktif sepenuhnya oleh golongan mahasiswa.


Dalam satu ucapan saudara Jaafar Rahim, pakar pemikiran lateral dan kreatif, pernah menyebutkan bahawa betapa perlunya seseorang mahasiswa meningkatkan self inquiry. Ia merupakan satu sikap yang mulia di mana ia ditakrifkan sebagai kemahuan seseorang untuk mengetahui sesuatu ilmu atau maklumat yang belum diketahuinya.


Sesungguhnya, tanpa pengukuhan ilmu yang utuh, umat Islam akan lemah dan terus dijajah walaupun telah mencapai kemerdekaan kerana penyakit yang dinyatakan oleh Malek Bennabi sebagai penyakit colonsibilite yang bermaksud suka merelakan diri diperhambakan lantaran daripada jiwa yang lemah. Penyakit ini menyebabkan kita masih terjajah akibat lemah daripada aspek pendidikan, keilmuwan, pembangunan dan lain-lain lagi.


Ilmu merupakan komponen yang paling penting dalam kehidupan seseorang manusia. Dengan ilmu manusia dapat menyusun struktur kehidupan bermasyarakat yang lebih sistematik, dinamik dan berkesan serta memberikan kemudahan kepada manusia itu sendiri.


Perlu diingatkan bahawa tanggungjawab untuk mengimarahkan ilmu di universiti terletak di bahu mahasiswa. Mahasiswa patut menjadi seperti tukang kebun yang sentiasa menyiram air dan membajai tunas-tunas ilmu di universiti agar taman itu sentiasa subur dan mekar.